Monday, November 3, 2008

PERBEZAAN MAKNA FRASA TANGKAP BASAH BAHASA MELAYU DENGAN BAHASA INDONSEIA

Pengenalan
Ramai orang berpendapat bahawa bahasa Melayu Malaysia terdapat banyak kesamaan dengan bahasa Indonesia. Hal ini disebabkan kerana kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa Melayu. Namun pada kenyataannya kedua-dua bahasa ini tidaklah sama. Ada beberapa perbezaan dalam struktur, makna dan penulisannya. Misalnya saja, benda yang sama tetapi memiliki nama yang berbeza, ada juga kata yang sama tapi memiliki makna yang berbeza, dan kata yang mempunyai sedikit perbezaan ejaan atau bunyi.

Banyak kekeliruan dan kesalahfahaman yang muncul disebabkan oleh perbezaan makna kata.Tidak jarang pula kesalahan dalam berkomunikasi tercipta sehingga terkadang sering membuat pesan yang disampaikan oleh si penutur tidak sampai tujuan dan maksudnya. Tidak hanya itu sahaja, bahkan hal ini terkadang membuat si penutur akan berasa malu dan menjadi takut serta berusaha menghindari berbicara dengan mengunakan bahasa Melayu. Hal ini terjadi pada penulis pada saat pertama kalinya berkunjung ke Malaysia untuk bercuti. Dalam tulisan ini penulis akan berbagi pengalaman peribadi yang amat berkesan bagi penulis hingga kini ketika berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi iaitu di pustaka dan makmal Fakulti Undang-Undang untuk pertama kali dan mungkin juga untuk yang terakhir kali, kerana hingga kini penulis tidak ingin dan tidak ada niat untuk berkunjung kesana lagi.

Adapun tujuan dari penulisan pengalaman peribadi ini adalah untuk menjelaskan perbezaan makna frasa tangkap basah bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia. Tulisan ini dimaksudkan agar apa-apa yang telah penulis alami dalam hal kekeliruan memilih dan menggunakan kata ataupun salah dalam memaknai sesuatu yang akhirnya menimbulkan perasaan malu tidak akan terjadi dan terulang lagi oleh pembaca pada masa hadapan. Kaedah dalam tulisan ini dibuat berdasarkan pengalaman berbahasa peribadi penulis sendiri.

Pembahasan
Pengalaman berbahasa yang akan saya ceritakan dalam tulisan ini terjadi tepatnya pada Julai 2002. Pada saat itu adalah cuti semester perkuliahan di Indonesia. Saya merasa amat bahagia ketika itu kerana saya dibolehkan pergi untuk bercuti ke Malaysia sendiri sahaja oleh ibu bapa saya. Alasan mengapa saya meminta cuti ke Malaysia kepada ibu bapa saya pada saat itu, selain niat bersilaturahmi dengan saudara-mara di Malaysia, saya juga mengunjungi kakak saya yang sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Fakulti Undang-Undang.

Pada hari pertama berada di Malaysia, saya menginap di rumah saudara saya yang di Seremban. Selama dua hari berada di Seremban saya belum menjumpai kendala dalam berbicara dan berbahasa. Hal ini disebabkan kerana saudara saya menggunakan bahasa Indonesia campur Malaysia dan Minang ketika bercakap-cakap dengan saya.

Setelah puas berkeliling di Seremban selama dua hari, saya melanjutkan perjalanan ke Bangi untuk mengunjungi kakak yang sedang belajar di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya merasakan suasana yang berbeza dari sebelumnya. Berada di kawasan kampus saya merasakan suasana Melayu yang teramat sangat dan tidak jarang pula saya mendengar dialek melayu yang bermacam-macam dari masing-masing daerah di Malaysia. Banyak hal serta istilah yang baru yang saya lihat. Salah satunya ialah pada paparan awam (papan tanda, papan kenyataan, dan iklan di sepanjang jalan, bangunan fakulti dan tempat-tempat umum lainnya. Sebagai contoh iaitu ;”tandas untuk kaki tangan sahaja”, ”jalan sehala”, ”sila beratur”, dan lain-lain.

Setelah beberapa hari berada di persekitaran UKM saya mulai membiasakan diri untuk berkomunikasi dengan orang di persekitaran kampus hingga akhirnya terjadilah peristiwa yang sedikit memalukan. Peristiwa memalukan ini terjadi pada satu hari yang cerah di Fakulti Undang-Undang. Pada hari itu saya ikut kakak pergi ke Fakulti Undang-Undang, sementara ia belajar,saya menunggu di dalam pustaka. Selang beberapa jam duduk menunggu sambil membaca beberapa buku, saya mulai berasa bosan dan memaksa untuk berpindah tempat dan mencari suasana yang lain. Akhirnya pada saat itu saya memutuskan untuk menggunakan komputer dan melayari internet. Setelah beberapa jam saya melayari internet, tiba-tiba jaringan dari internet menjadi lambat. Pada awalnya saya mencoba untuk bersabar, namun kenyatannya setelah menunggu dua puluh lima minit saya tidak boleh menggunakan internet disebabkan jaringan internet sedang tidak bagus. Ketika saya hendak pergi keluar, seorang petugas penjaga pustaka , memanggil saya untuk datang kepadanya,dan saya pun langsung memenuhi permintaanya. Menjelang saya sampai ke hadapan petugas itu, saya langsung terfikir bahawa ia mesti tahu saya bukan pelajar FUU. Kenyatannya benar, dan saya ditodong dengan beberapa pertanyaan, dan akhirnya saya diminta untuk keluar dari pustaka.

Keesokan harinya, saya bertemu dengan saudara yang tinggal di Kuala Lumpur. Kerana baru pertama kalinya bertemu setelah kita besar, kami saling bercerita panjang lebar dengan berbagai macam topik sampai akhirnya saya menceritakan pengalaman yang baru saja saya alami kelmarin di pustaka FUU. Saya bercerita bahawa saya tertangkap basah oleh petugas pustaka di FUU. Alangkah terkejutnya saudara saya itu ketika mendengar cerita saya dan sebaliknya saya pun terkejut juga melihat reaksi mereka dan berulang kali meminta saya untuk menceritakan kejadian yang saya alami lebih jelas dan lengkap. Saya bertambah heiran lagi kerana akhirnya mereka tertawa. Setelah saya desak mereka untuk menjelaskan kenapa mereka terkejut dan tertawa, akhirnya mereka mahu menjelaskannya. Alangkah tambah terkejutnya saya mendengar penjelasan mereka apa itu makna tertangkap basah dan saya menjadi malu.

Pada asasnya tangkap basah merupakan frasa yang berasal dari pada dua kata iaitu tangkap dan basah. Erti frasa tangkap basah bila kita merujuk kepada kamus dewan ialah ditangkap ketika seseorang sedang melakukan kesalahan, khasnya dalam kes khalwat. Sementara itu frasa tangkap basah bila di Indonesia bermakna luas tidak hanya berkaitan dalam kes khalwat sahaja tapi juga perbuatan salah lainnya yang sederhana, misalnya seseorang budak kecil yang pada awalnya mengaku berpuasa tetapi belum lagi masuk masa berbuka ia didapati mengambil makanan dan minuman dari dalam peti sejuk. Hal ini boleh di katakan tertangkap basah. Contoh lainnya adalah seseorang penyeluk saku yang diketahui perbuatannya secara langsung oleh orang lain, maka ini dapat disebut penyeluk saku tadi tertangkap basah sedang melakukan aksi perbuatan jahatnya oleh orang lain.

Sudah amat jelas penekanan yang diterangkan dalam kamus dewan bahawa frasa tangkap basah ialah keadaan yang menunjukkan apabila seseorang ditangkap ketika sedang melakukan perbuatan khalwat. Ada dua makna daripada kata khalwat. Makna yang pertama ialah perihal atau perbuatan mengasingkan atau memencilkan diri kerana menenangkan fikiran, bertafakur dan lain-lain. Sementara itu makna kedua adalah pengasingan diri berdua-duaan ditempat yang terpencil atau tersembunyi oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami istri sehingga dapat dianggap sebagai suatu perbuatan yang sumbang.

Makna daripada kata khalwat ini tidak berbeza jauh dengan bahasa indonesia, bahkan boleh dikatakan sama yang mana berkhalwat adalah berada berdua-duaan dengan yang bukan muhrimnya dalam suasana dan situasi yang sepi dan tersembunyi. Perbuatan ini lebih sering disebut berzina atau bahasa pergaulannya adalah ”mojok”. Istilah ”mojok” berasal daripada kata ”pojok” yang ertinya ialah sudut, dengan kata lain makna pojok untuk hal ini adalah satu tempat yang sunyi, terpencil dan menyudut dan biasanya di jadikan untuk tempat berdua-duaan oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim melakukan perbuatan yang sumbang dan di larang oleh agama. Hubungan istilah mojok dengan kata asas pojok adalah perbuatan atau kegiatan yang dilakukan oleh yang bukan muhrim ditempat yang menyudut, sepi dan terpencil. Sementara itu, apabila mereka yang sedang ”mojok” ini diketahui oleh orang lain maka mereka dapat dikatakan tertangkap basah ataupun ditangkap basah.

Kesimpulan

Berdasarkan pada cerita pengalaman peribadi penulis dalam berbahasa dapat diambil beberapa kesimpulan iaitu benar adanya perbezaan antara bahasa Melayu Malaysia dengan bahasa Indonesia walaupun kedua-dua bahasa ini berasal daripada rumpun bahasa Melayu. Contoh yang jelas adalah dalam perbezaan makna kata , kerap kali perbezaan makna kata ini sering menimbulkan kekeliruan dalam berkomunikasi. Selain itu, penulis berharap selepas membaca tulisan ini, pembaca dapat mengambil pelajaran daripada kesalahan dan kekeliruan penulis dalam menggunakan dan memaknai sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan atau menimbulkan perasaan malu tidak terjadi lagi pada pembaca pada masa yang akan datang.

No comments: